Friday, July 9, 2010

Laut dan Melayu 3

Kemampuan tukang dan artisan perahu Melayu yang lain membuat inovasi telah diperhatikan pegawai tadbir Inggeris ketika mereka berkhidmat di negerinegeri Melayu masa dahulu. Mereka itu termasuk Hugh Clifford yang pernah melawat Terengganu pada tahun 1895. Dalam lawatan itu, beliau telah menyatakan bahawa tukang perahu di Terengganu boleh membuat perahu bentuk barat yang cantik setelah meniru sebuah model yang diperolehi dari Singapura. Hasil kerja tangan tukang Terengganu itu lebih kemas dan cantik berbanding dengan hasil
kerja tukang perahu lain di pantai barat Semenanjung. Tetapi, dengan nada yang sinis Clifford menganggap kepandaian ini lebih berupa peniruan dan bukan hasil kreativiti, memandangkan orang Melayu terlalu terikat kepada tradisi .

Kreativiti tukang timbal lebih terserlah pada ukiran yang ditunjukkan pada beberapa bahagian perahu mereka. Yang komited pada agama akan mengelak dari mengukir imej yang menyerupai manusia dan binatang, selain menekankan ukiran yang berbentuk ayat al-Quran, seperti yang dilakukan tukang rumah. Bahagian perahu yang tidak sesuai diukirkan ayat al-Quran seperti pada kayu penyangga layar yang biasa dikenali sebagai bangau yang mungkin akan
dilangkah berulangkali oleh awak-awak ketika bekerja, ayat al-Quran akan diganti dengan ukiran awan larat yang mempunyai motif umbi, sulur, daun dan bunga yang membawa nilai keindahan dan simbolisme yang sama, iaitu kemakmuran dan infiniti Tuhan. Di kalangan orang yang masih kuat berpegang kepada anamisme, peralatan perahu seperti ‘Bangau’ dan ‘Okok’ akan memaparkan figur tokoh-tokoh wayang kulit, seperti Raja Bota.

Sementara itu, penampilan awan larat adalah alternatif dan juga inovasi menggantikan penampilan lembaga manusia atau haiwan seperti yang berlaku di Thailand, Kemboja dan Bali.
Selain evolusi bentuk perahu, terdapat beberapa peralatan tambahan telah
dipasang pada perahu Melayu, khususnya yang digunakan nelayan sekarang. Peralatan yang dimaksudkan itu adalah lunas bilga, yang dalam istilah tempatan dipanggil pisang yang berfungsi untuk menggurangkan olengan kapal. Pisang ini adalah pengubahsuaian dari katir (outriger) yang terdapat pada kebanyakan perahu di Alam Melayu dan Polinesia. Walaupun belum dapat dipastikan dari mana dan bila bermulanya inovasi ini, tetapi dalam industri pembinaan perahu
Melayu, pisang mungkin telah digunapakai sekitar tahun 70-an dan mungkin diambil dari perahu Siam.

Kini warisan seni pembuatan dan pertukangan kapal-kapal Nusantara di Malaysia diwarisi oleh tukang-tukang dari Terengganu.Contohnya Haji Yusuf yang banyak memenangi anugerah inovasi dalam pembuatan kapal dari kerajaan.Pengetahuannya mereka pelan dan membuat perahu layar membolehkannya mendapat tempahan dari pengemar-pengemar perahu
layar dari Eropah yang tertarik dengan kaedah pembuatan perahu Melayu.Sejak tahun 1965 dia telah membuat perahu untuk orang Eropah.Perahu buatannya telah sampai ke seluruh dunia sehingga ke Alaska.Beliau juga menerima tempahan membuat bot nelayan dan kapal persiaran. Sehingga kini, beliau telah membuat lebih seratus buah perahu yang panjangnya antara 20 hingga 30 meter untuk pelanggan dalam dan luar negara.

Kapal Pinisi (sejenis perahu besar dikenali sebagai Pinis Gobel Terengganu) adalah kapal yang dibuat terutamanya dari kalangan orang Bugis,satu kaum Nusantara yang terkenal sebagai pelaut,pedagang dan lanun yang berkemahiran tinggi.Perbezaan yang ketara dari pembuatan perahu pinisi dengan teknologi pembuatan kapal Barat adalah,jika orang Barat membina perahu dari rangkanya dulu barulah dibina dindingnya,tapi pembuatan pinisi tradisi dimulakan dengan dinding dulu barulah setelah itu dibina rangkanya.Segala teknik dan peraturan pembuatan perahu zaman dulu pernah dibukukan di dalam satu manuskrip atau kitab pembuatan kapal kuno yang dinamakan "Jaya Langkara" menurut orang-orang tua di Ara,Indonesia malah kitab itu pernah dipinjam oleh Belanda,malangnya hingga kini belum dikembalikan (disimpan di dalam muzium Belanda).Sedangkan prinsip perletakan papan papan teras dan aturan aturan dasar lainnya dalam pembuatan pinisi ini disusun oleh Ruling (orang Bugis yang menjadi tukang timbal atau tukang kapal).Sampai sekarang dalam pembuatan perahu pinisi aturan Ruling inilah yang menjadi panduannya.Disamping itu orang Bugis memiliki undang undang pelayaran dan perdagangan yang disusun oleh "Ammana Gappa" yang namanya sempat diabadikan pada pelayaran expedisi pinisi ke Madagaskar.

No comments:

Post a Comment